Salasilah peribahasa mendasarkan kepada tiga
sumber utama digunakan oleh masyarakat penuturnya, iaitu yang pertama melalui
pengalaman hidup khususnya dalam kalangan rakyat biasa, kedua melalui
penaakulan para bijak pandai dan ketiga menerusi sumber yang didapati daripada
kitab-kitab suci (Abdullah Hussain, 2003:vii). Yang demikian, peribahasa yang
bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi, kias dan ibarat yang
tepat lagi tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur,
ringkas padat dan bernas. Justeru peribahasa dalam fungsinya menyampaikan
pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri-ciri kesantunan bahasa yang
indah sebagai halwa dan penambat hati penuturnya.
Pelbagai tafsiran dan gambaran telah diberikan
oleh sekalian ramai ahli bahasa, sejarawan, budayawan dan penutur bahasa Melayu
perihal pertibahasa. Peribahasa diungkapkan sebagai cerminan watak kepada bangsa
yang memilikinya dan sebagai cabang seni dalam sastera rakyat. Selain itu, peribahasa
dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar dan
logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa
merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan,
kata-kata hikmah dan bahasa kiasan. Di samping itu peribahasa juga penting
dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Banyak
sarjana bahasa dan sastera berpendapat, peribahasa merupakan ikatan bahasa atau
puisi Melayu kuno yang bernilai sastera. Ikatan ini wujud pada permulaan zaman
setiap bangsa di dunia ( Ariffin Nur, 1971 : 36 ). Pendita Za’ba mendefinisikan
peribahasa sebagai “Segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di
mulut orang ramai semenjak beberapa lama. Oleh sebab sedap dan bijak
perkataannya, luas dan benar tujuannya dipakainya sebagai sebutan-sebutan orang
sebagai bandingan, teladan dan pengajaran” ( Za’ba 1965:165 ). Secara amnya
peribahasa adalah percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran
dan pemerhatian, yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar
dan benar pada perasaan dan fikiran (Keris Mas, 1988:136).
Rahman Shaari (1993:88) berpendapat bahawa
aspek peribahasa harus dianggap sebagai sama pentingnya dengan aspek-aspek lain
dalam pengajaran bahasa Melayu. Ini kerana prinsip peribahasa adalah hidup dan
berkembang seiring dengan perkembangan bahasa secara keseluruhannya. Oleh itu,
peribahasa Melayu amat wajar diberi pengajaran di setiap peringkat persekolahan
sebagai suatu kelangsungan kepada perkembangan tersebut. Menurut Koh Boh Boon (1982:196),
“peribahasa Melayu seharusnya diajar kepada murid-murid di sekolah supaya
mereka dapat menikmati dan menghayati keindahannya, malah menggunakannya untuk
melahirkan fikiran dan perasaan dengan tepat dan halus”. Sesungguhnya
peribahasa Melayu adalah elemen yang penting dalam kemahiran berbahasa. Namun
begitu aspek peribahasa semakin kurang dititikberatkan. Peribahasa semakin
jarang atau tidak digunakan dalam kehidupan harian malah mungkin ada sesetengah
peribahasa yang sudah menjadi begitu asing bagi generasi masa kini. Hal ini
mungkin disebabkan oleh anggapan bahawa peribahasa adalah suatu bahasa klise
yang sering digunakan dan dihafal oleh orang tua-tua sebagai bahan pidato dalam
upacara adat. Ada pula yang meragui sama ada peribahasa masih sesuai digunakan
dalam keadaaan masyarakat sekarang.
Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada
jelmaan intelektualiti penutur bahasa Melayu. Ia diungkap menerusi bahasa yang
indah-indah. Setiap ungkapan yang tercipta disusun dan dipadan dengan
sedemikian rupa untuk membolehkan idea, rasa dan buah fikiran pengungkapnya
dapat diserlahkan dengan lebih bermakna. Menerusi
peribahasa ini, penutur bahasa Melayu berjaya mengungkap falsafah yang mendalam
tentang aspek-aspek ketamadunan, pemikiran, ethos dan moral bangsa Melayu sejak
sekian lama (Abdul Samad Idris, 1990:ix). Dalam peribahasa tersirat makna yang
cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan
menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah serentak dengan
kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia
menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya. Peribahasa telah digunakan
untuk mengenal peradaban, di samping membuat ketentuan antara baik-buruk serta
mencari ketetapan dalam tatacara hidup bermasyarakat. Mohd. Tajuddin Bin Hj.
Abdul Rahman (1986: iv) berpendapat bahawa seseorang yang dapat menggunakan
peribahasa berkenaan di tempat-tempat yang betul, baik dalam percakapan mahupun
tulisan, akan memberikan satu gambaran tentang kemahiran menggunakan sesuatu
bahasa.
Secara mudahnya, peribahasa Melayu yang merupakan salah satu
pancang dan cabang bahasa Melayu, mempunyai peranan besar dalam membentuk
entiti dan jati diri bangsa yang memiliki dan mengamalkan nilai-nilai murni. Atas
kepentingan pendidikan, pengajaran peribahasa Melayu amat wajar dilaksanakan
secara terancang dan bijaksana bagi menghindari halangan dan kesukaran murid
memahami, meminati dan mengingati sesuatu peribahasa Melayu yang memang banyak
terkandung dalam kitab orang Melayu. Oleh itu, seorang pengajar atau guru hendaklah berusaha untuk mempermudahkan
pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atau guru bukan
sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis,
tetapi mereka juga menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru
perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat merangsangkan minat pelajar di
samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar. Banyak teori
pendekatan yang telah dikemukakan oleh ramai ahli penyelidik dan pendidikan
boleh digunakan dalam pengajaran peribahasa Melayu, antaranya ialah pendekatan
kontekstual, induktif, deduktif, dan banyak lagi. Pendekatan pengajaran yang dipilih guna
mestilah bersesuaian dengan kandungan dan objektif pengajaran yang turut
disertakan kaedah, teknik dan bahan yang sejajar dengan pendekatan tersebut.
Pengisian pengajaran dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai dan menarik pasti
dapat meransang dan membantu meningkatkan pemahaman terhadap maksud dan konsep
sesuatu peribahasa itu.
Oleh kerana bahasa Melayu merentas kurikulum,
maka adalah wajar peribahasa Melayu diberi perhatian dalam pendidikan bahasa
Melayu agar dapat mencapai ketrampilan berbahasa, iaitu menguasai kecekapan
berbahasa dan ketepatan berkomunikasi. Penguasaan peribahasa Melayu di kalangan
pelajar di sekolah mahupun peringkat pengajian tinggi perlu dipupuk kembali dan
dikembangkan. Justeru itu, bagi meningkatkan minat, kefahaman dan penggunaan
peribahasa Melayu di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah atau
universiti, satu reka bentuk, strategi, kaedah atau pendekatan berkesan perlu
dirancang oleh guru atau pengajar. Koh Boh Bon (1982:198) menyarankan
pendekatan pengajaran peribahasa Melayu dengan cara berkesan ialah menerusi
pendekatan kontekstual. R.J Wingfield (1968:231) pula berpendapat bahawa dalam
pengajaran peribahasa pelajar-pelajar perlu didedahkan dengan budaya bangsa
peribahasa itu dan peribahasa yang diajar perlu dipilih dengan teliti untuk
memberi kefahaman dan galakan kepada mereka untuk terus menggunakannya.Sementara
itu, Nathesan (1989:69) berpendapat bahawa simpulan bahasa seharusnya diberi
perhatian yang wajar dalam penulisan dan penuturan. Corak pengajaran simpulan
bahasa bukan sekadar menghafal tetapi harus diajar untuk menikmati dan
menggunakannya secara meluas dalam kehidupan harian mereka. Cover, D.J
(1971:51-53) berpendapat bahawa peribahasa boleh diajar dengan empat teknik
supaya pelajar dapat menguasai peribahasa Melayu dengan baik iaitu :
1. Guru perlu menggunakan nota tatabahasa sebagai alat mencatatkan peribahasa yang terpilih dan membina ayat berdasarkan peribahasa tersebut.
2. Dalam kemahiran lisan, pelajar-pelajar membaca petikan yang mengandungi peribahasa. Seterusnya guru menanya semula peribahasa tersebut dan berbincang tentang peribahasa yang telah dibaca.
3. Guru menggunakan teknik karangan di papan tulis. Guru mencatat peribahasa di papan tulis dan membimbing pelajar-pelajar dalam perbincangan sambil mencatatkan isi-isi dari peringkat demi peringkat yang akhirnya menghasilkan satu karangan yang lengkap.
4. Guru menggunakan petikan dialog. Guru memilih petikan yang pendek yang mengandungi peribahasa untuk dihafal oleh pelajar-pelajar. Teknik ini boleh membantu pelajar-pelajar mengingat konteks peribahasa yang digunakan apabila diperlukan.
Pun begitu, sejajar dengan perkembangan arus dunia moden semasa dan
cabaran dunia pendidikan khususnya terhadap bahasa Melayu, satu pendekatan
pengajaran yang lebih inovatif dan kreatif perlu dirancang dengan teliti dan
bersesuaian dengan kandungan pelajaran. Antara pendekatan yang sering dan
rancak digunakan ialah melalui bahan beranimasi. Animasi merupakan salah satu
bentuk komunikasi grafik yang dipersembahkan secara menarik dan ringkas untuk
menyampaikan maklumat dan pesanan. Oleh kerana sifatnya yang unik, animasi
mampu meninggalkan kesan ingatan dan mengukuhkan ingatan pelajar. Animasi juga
berfungsi untuk mendidik murid-murid ke arah menumpukan minat terhadap
penggunaan animasi yang bermutu tinggi dari segi lukisan., mesej, dan sudut
persembahan serta bahasa yang digunakannya. Kartun boleh memperjelaskan maksud
dan menggambarkan makna isi kandungan bahan yang diajar dalam bentuk yang lebih
mudah dan menarik. Pengajaran peribahasa dan simpulan bahasa menjadi lebih
mudah difahami jika disampaikan dengan mengunakan bahan animasi. Selain itu
guru juga boleh menggunakan beberapa kaedah dan pendekatan pilihan seperti
permainan bahasa interaktif, keratan tanyangan video seperti siri sitkom Pi Mai
Pi Mai Tang Tu atau ungkapan oleh wartawan Karam Singh Walia, yang mengandungi
peribahasa Melayu yang menarik untuk pengajaran dan pembelajaran. Keberkesanan
bahan bantu mengajar yang dipilih mampu mempengaruhi minat murid-murid untuk
meneruskan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan-bahan
pengajaran dan bahan bantu mengajar ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin
dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar dan sebagainya
yang merupakan bahan yang menyokong penyampaian pembelajaran.1. Guru perlu menggunakan nota tatabahasa sebagai alat mencatatkan peribahasa yang terpilih dan membina ayat berdasarkan peribahasa tersebut.
2. Dalam kemahiran lisan, pelajar-pelajar membaca petikan yang mengandungi peribahasa. Seterusnya guru menanya semula peribahasa tersebut dan berbincang tentang peribahasa yang telah dibaca.
3. Guru menggunakan teknik karangan di papan tulis. Guru mencatat peribahasa di papan tulis dan membimbing pelajar-pelajar dalam perbincangan sambil mencatatkan isi-isi dari peringkat demi peringkat yang akhirnya menghasilkan satu karangan yang lengkap.
4. Guru menggunakan petikan dialog. Guru memilih petikan yang pendek yang mengandungi peribahasa untuk dihafal oleh pelajar-pelajar. Teknik ini boleh membantu pelajar-pelajar mengingat konteks peribahasa yang digunakan apabila diperlukan.
Selain itu, pengajaran peribahasa juga harus dijalankan dengan menggunakan kaedah dan teknik yang menarik. Penggunaan ICT boleh diterapkan untuk menghasilkan ilustrasi yang menggambarkan maksud peribahasa. Pengajaran secara visual ini, seperti tayangan klip video dapat memudahkan murid memahami maksud peribahasa dengan lebih mendalam. Penggunaan kuiz peribahasa Melayu juga boleh diterapkan sebagai aktiviti pengukuhan. Selain itu, penerapan aktiviti permainan dalam pembelajaran dan pengajaran juga merupakan salah satu pendekatan yang berkesan. Permainan dalam pengajaran bertujuan menghidupkan suasana pembelajaran yang melibatkan setiap orang murid serta mewujudkan pengajaran dan pembelajaran peribahasa Melayu secara holistik. Sebagai contoh, permainan Domino beraplikasikan persembahan MSPowerPoint merupakan satu set aktiviti pengukuhan yang dijalankan secara berkumpulan dan melibatkan setiap orang murid. Dalam permainan tersebut, setiap murid akan diberikan sekeping kad domino yang mengandungi peribahasa serta maksudnya. Murid dikehendaki mencantumkan kad yang ada pada diri mereka dengan rakannya yang lain sehingga setiap kad tersebut dapat dipadankan. Permainan ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan dan harus diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan. Kumpulan yang berjaya mencantumkan kad domino dalam masa yang terpantas akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan