Sabtu, 16 Jun 2012

Teori Segi Tiga Semantik

 
Perkembangan dalam ilmu semantik mengikut pandangan ahli-ahli bahasa, perlu tergolong dalam ilmu linguistik yang telah menjelmakan tahap kedua dalam ilmu semantik iaitu semantik linguistik. Antara tokoh-tokoh utama yang terlibat dalam ilmu semantik linguistik ialah Ferdinand de Saussure, Odgen, I. A. Richards dan Ullmann. Konsep yang paling popular digunakan oleh ahli-ahli bahasa ini ialah konsep pemikiran dalam banyak usaha dan kajian mereka terhadap kajian makna.Teori awal yang mendukung konsep penerimaan (pandangan) ini ialah Ferdinand de Saussure (1916). Beliau memperkenalkan teori ‘tanda’ untuk menunjukkan gabungan petandan dan penanda. Menuru beliau, bahasa mempertalikan suatu imej (makna) dengan satu set lambang (bunyi bahasa atau symbol dalam teks tertulis) Oleh itu, lambang linguistik atau bahasa terdiri daripada penanda dan petanda. Petanda ialah ‘perkara yang dijelaskan’ manakala penanda ialah ‘perkara yang menjelaskan’. Dalam kata lain, penanda ialah makna atau mesej daripada petanda yang wujud daripada bunyi-bunyi bahasa. Sebagai contoh, kata kerusi ialah penanda manakala bunyi kata kerusi ialah petanda. Kedua-dua penanda dan petanda ini menjadi satu kesatuan yang merujuk kepada referen atau rujukan. Referen atau rujukan ialah benda atau hal yang berada di luar bahasa. Kedua-dua bunyi dan benda kemudiannya membentuk konsep, yakni tanggapan yang terbentuk dalam fikiran.
            Ogden dan Richard (1923) pula telah mengajukan teori klasik mereka yang terkenal, iaitu teori ‘segi tiga semiotik’. Dalam teori tersebut, Odgen dan Richards melihat perhubungan antara simbol dan perujuk dengan rujukan atau fikiran. Simbol merujuk kepada unsur linguistik atau bahasa, iaitu kata, ayat atau sebagainya. Perujuk pula benda dan sebagainya, manakala fikiran atau rujukan mewakili konsepnya. Teori ini menjelaskan bahawa tidak terdapat sebarang hubungan langsung antara simbol dan rujukan tanpa perantaranya. Perantaranya atau kaitan adalah melalui fikiran atau rujukan, iaitu konsep yang didokong dalam fikiran kita. Ada kalanya, simbol diertikan sebagai perkataan, perujuk sebagai objek atau benda, dan rujukan sebagai konsep oleh sesetengah ahli bahasa. Bagi Ogden dan Richards, mereka menggelar ikatan antara perkataan dan konsep sebagai pertalian. Sementara ikatan antara konsep dan objek disebut rujukan. Hubungan antara objek dengan kata dinyatakan sebagai makna.
             Sementara itu Ullman (1972:57) menjelaskan makna adalah berhubungan dengan nama atau bentuk bahasa. Beliau menyatakan bahawa apabila seseorang memikirkan maksud sesuatu perkataan, sekaligus memikirkan rujukannya atau sebaliknya. Hubungan dua hala antara maksud dengan perkataan itulah yang menyebabkan lahirnya makna. Menurut Ullman lagi (dalam Abdul Chaer, 2001:282) makna adalah hubungan antara makna dengan pengertian. Di samping itu Ullmann (1962:55), memperihalkan bahawa ada dua aliran pemikiran tentang konsep makna: aliran anatikal/referensial dan aliran operasional/kontekstual.  Bagi menjelaskan lagi pengertian makna seperti mana yang diberikan oleh Ogden dan Richard (The Meaning of Meaning, 1956) pernah memberi16 pengertian dan erti bagi makna, Ullman (1957) telah menyenaraikan enam sebab bagi perubahan makna antaranya termasuk sebab-sebab linguistik (bahasa), sejarah, sosial, psikologi, pengaruh luar dan keperluan untuk kata baharu. Kajian semantik leksikal pula menurut Ullman (1957:34), merupakan domain kajian makna perkataan akan meneliti makna perkataan, kesignifikan imbuhan, perbezaan antara makna kata majmuk dengan komponennya dan lain-lain. Kajian ini berusaha untuk meneliti perubahan dalam semantik yang dialami oleh Bahasa Melayu. Ullmann telah berhujah bahawa, makna perkataan hanya dapat ditentukan berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya sahaja.
              Kesimpulannya, kedua-dua teori di atas adalah merujuk kepada teori mental. Kedua-dua teori ilmu semantik di atas merupakan cabang linguistik yang memberi tumpuan kepada persoalan makna dalam bahasa, yakni semantik ialah bidang ilmu yang mengkaji makna perkataan dan ayat dalam bahasa. Dalam teori mental ini didapati bahawa tidak semua perkataan dapat dikaitkan dengan imej mental, dan ada beberapa perkataan pula memiliki beberapa makna berbeza. Melalui teori tiga segi semiotik, dapatkan menegaskan lagi hal ini, yang mana menerangkan bahawa hubungan makna hanya akan dapat dijelmakan melalui kata, konsep dan objek. Dengan itu, tidak ada satu makna tunggal bagi satu-satu perkataan itu. Selain itu, setiap apa yang ada atau ditanggapi dalam minda orang lain tidak akan dapat kita memahaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan