Sabtu, 14 Julai 2012

Sinonim (Kesamaan Makna)


Dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama, tetapi berlainan bentuknya, disebut sinonim.[1] Definisi sinonim secara etimologi atau bahasanya ialah ‘onoma’ dan ‘syn’ yang berasal dari bahasa Yunani kuno. Maksud ‘onoma’ ialah nama manakala ‘syn’ bermaksud nama lain untuk benda atau hal yang sama. Secara semantik pula, Verhaar (1978) mendefinisikan sinonim sebagai ungkapan yang mempunyai makna lebih kurang sama dengan ungkapan kata yang lain. Contohnya ialah perkataan buruk dan jelik. Kedua-dua perkataan tersebut adalah sinonim berdasarkan makna kata yang sama. Menurutnya lagi, jika satu kata itu bersinonim dengan kata lain, maka kata lain itu juga akan bersinonim dengan kata tersebut. Contohnya ialah kata cantik bersinonim dengan kata lawa. Maka, kata lawa juga bersinonim dengan kata cantik. Hal ini menunjukkan sinonim bersifat dua arah antara kata sinonimnya.[2]
S. Nathesan (2008: 38) menjelaskan kata sinonim (synonym) yang berasal daripada bahasa Yunani, sebenarnya terdiri dari dua kata, iaitu syn (bererti sama atau serupa) dan onym (yang membawa makna nama). Sinonim pada umumnya, ditakrifkan sebagai perkataan atau frasa yang mempunyai erti atau makna yang sama. Menurut keterangan beliau lagi, The World Book Encyclopedia (1992) menerangkan sinonim sebagai ‘kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama seperti dalam kata yang lain’.[3] Selain itu, O’ Grady (2000: 118) menyatakan sinonim bermaksud “perkataan yang berlainan bentuk ejaan atau bunyi, tetapi mempunyai makna yang sama atau hamper sama”. Contoh, sinonim bagi induk ialah “ibu” atau “emak” atau yang terutama.[4]
Sementara itu Abdullah Yusof (2009), menyatakan bahawa terdapat tiga batasan yang dapat dikemukakan dalam definisi sinonim. Ianya terdiri daripada kata-kata dengan acuan linguistik yang sama, kata yang mengandungi makna yang sama, dan kata yang dapat berperanan dalam konteks ayat yang sama. Contoh kata-kata dengan acuan linguistik yang sama ialah seperti perkataan mati dan mampus, serta sikat dan sisir. Kata-kata ini mempunyai acuan linguistik yang sama antara satu sama lain. Contoh kata yang mengandungi makna yang sama pula adalah seperti memberitahukan dan menyampaikan dalam ayat memberitahukan berita itu dan menyampaikan berita itu. Kedua-dua kata tersebut mempunyai makna yang sama iaitu menyalur cerita atau berita yang diketahui. Kata yang berperanan dalam konteks ayat yang sama pula boleh dicontohkan dengan perkataan mudik dan dayung.[5]
Berdasarkan Kamus Linguistik (1997), sinonim boleh didefinisikan sebagai dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir  sama dalam sesuatu bahasa (BML3083, 2012). Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1502) mendefinisikan sinonim sebagai kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain, misalnya cantik dengan indah dan cepat dengan pantas, kata seerti. Abdullah Hassan, dalam Tesaurus Bahasa Melayu (2003: 293), juga memberikan padanan makna yang sama dengan Kamus Dewan, iaitu seerti dan semakna.[6] Contoh sinonim seperti yang didefinisikan dalam dua kamus tersebut adalah seperti perkataan tulen dan asli, cantik dan lawa, suka dan gemar, panas dan hangat, baling dan lontar, laju dan deras serta lain-lain perkataan lagi.. Padanan perkataan-perkataan tersebut mempunyai makna yang sama. Sementara Palmer (1998) dalam Abdullah Yusof (2009) menyatakan, definisi sinonim ialah kesamaan makna, sama kaedah yang dilakukan oleh penyusun kamus kerana penyusun perkataan-perkataan yang seperti atau bersinonim di antara satu sama lain (BML3083, 2012). Sit Hajar (2009) pula menjelaskan sinonim ialah kesamaan makna perkataan, iaitu kata-kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Secara umumnya, sinonim disebut sebagai perkataan seerti.

Konsep Sinonim
Pengertian definisi sinonim sebagai perkataan yang mempunyai makna kata yang sama menjadi dasar utama pembentukan konsep sinonim. Oleh itu, konsep sinonim ialah bersifat dua arah atau dua hala. Hal ini bermaksud, sinonim bagi sesuatu kata hanya wujud dan memerlukan kata lain untuk diterima sebagai bersinonim dengannya. Konsep ini juga menjelaskan bahawa, walaupun sesuatu perkataan asal diubah kepada perkataan yang bersinonim dengannya, maksud bagi ayat masih sama dan tidak berubah sama sekali. Ini bermaksud, setiap perkataan sinonim dapat menggantikan perkataan yang bersinonim dengannya tanpa merubah maksud perkataan.
Bagi memperincikan lagi maksud huraian berkaitan konsep sinonim tersebut, beberapa contoh berikut disediakan untuk memahamkan lagi hal ini. Contohnya ialah perkataan ibu dan emak. Apabila perkataan ibu dalam ayat saya sayang ibu saya digantikan dengan emak, ia akan menjadi saya sayang emak saya. Melalui ayat ini, didapati perkataan ibu yang digantikan dengan sinonimnya iaitu emak, masih tidak merubah makna ayat. Contoh lain ialah perkataan simbol dan lambang. Jika perkataan simbol dalam ayat harimau ialah simbol keberanian ditukar kepada lambang, ayat akan menjadi harimau ialah lambang keberanian. Didapati maksud ayat masih tidak berubah maknanya setelah perkataan simbol ditukar kepada lambang.

Ciri-ciri Sinonim
Abdullah Yusof (2009), menyatakan bahawa sinonim dikatakan mempunyai ciri pengganti kepada perkataan yang bersinonim dengannya. Contoh perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang sinonim adalah seperti; binatang dan haiwan, bohong dan tipu, haus dan dahaga, bertemu dan berjumpa, bapa dan ayah, ibu dan emak, budak-budak dan kanak-kanak, cerdik dan bijak, pandai dan pintar, cantik dan lawa, hodoh dan jelik, misalnya dan contohnya, seperti, macam dan bagai, curi dan copet, wilayah dan kawasan, sama dan serupa serta lain-lain contoh lagi (BML3083, 2012).
   Dari penerangan oleh Kamarudin dan Siti Hajar (1997: 67-68), ciri-ciri lain bagi sinonim pada pengertian saya ialah seperti berikut:
a.  Sinonim juga berasal daripada dialek yang berasingan atau berlainan. Contoh:
                 i.          Patung-patung sinonim dengan cakcibau.
                 ii.         Ibu sinonim dengan emak atau encik.
b.    Sinonim juga menunjukkan gaya yang berlainan berdasarkan keperluan pengucapan
yang ditentukan mengikut konteks atau kesan yang perlu ditimbulkan. Contoh:
                 i.          Mangkat sama makna dengan wafat, mati, meninggal, kojol.
c.  Sinonim juga mewujudkan nilai yang berlainan. Contoh:
                 i.          Penyanyi sama makna dengan biduan (nilai tinggi).
                 ii.         Pelakon sama makna dengan seniman (nilai tinggi).
f.               Sinonim berlaku secara terhad mengikut konteks nahu dan maknanya. Contoh:
                 i.          Banyak (pelbagai benda) sama makna ramai (manusia sahaja).
                 ii.         Basi (untuk nasi) sama makna tengik (untuk minyak).[7]

Jenis-Jenis Sinonim
Menurut John Lyons (1994: 37-38),[8] sinonim tidak mengehadkan kaitan sinonimi dengan leksem dan bukan hanya untuk kesamaan makna. Dari aspek peristilahan dan perkamusan termasuk Rogert’s Thesaurus, ungkapan sinonim yang digunakan merupakan sinonim terdekat; ungkapan yang lebih kurang sama, tetapi berlainan identiti dari segi makna. Sinonim terdekat tidak harus dikelirukan dengan sinonim separa yang memenuhi kriteria makna beridentiti. Sinonim terdekat juga sering digantikan dengan istilah-istilah lain seperti ‘sinonim mutlak’, ‘sinonim penuh’, ‘sinonim keseluruhan’ dan ‘sinonim lengkap’. Sinonim mutlak ialah ungkapan yang bersinonim secara penuh, keseluruhan dan lengkap; manakala sinonim separa ialah sinonim, tetapi tidak secara mutlak. Lyons menjelaskan sinonim mutlak dan sinonim separa boleh dibezakan dengan berpandukan sama ada syarat-syarat berikut dapat dipenuhi atau tidak:
            i)          sinonim itu bersinonimi penuh, jika dan hanya jika, kesemua maknanya sama;
     ii)    sinonim itu bersinonimi secara keseluruhan, jika dan hanya jika, pasangan itu bersinonim dalam semua konteks;
iii)   sinonim itu bersinonim secara lengkap, jika dan hanya jika, pasangan itu bersinonim bagi kesemua dimensi makna (yang relevan).
   Adenan Ayob dan S. Nathesan (2010: 71-72) pula menjelaskan bahawa, dalam semantik ada beberapa jenis sinonim iaitu sinonim pinjaman, konteks, laras sosial, dan kolokasi. Kesemua jenis sinonim tersebut dijelaskan dalam rajah berikut:


Jenis Sinonim
Contoh
Sinonim Pinjaman
‘Belalang’ bermakna pepatung dalam kebanyakan dialek Melayu. Walau bagaimanapun, dalam dialek Perak, ‘belalang’ bermakna ‘cakcibau’.
Dalam dialek Kedah, ‘batas’ ialah ‘jalan raya’, yang maksud konvensionalnya ialah ‘timbunan tanah yang menjadi sempadan petak-petak sawah’.
Sinonim Konteks
Perkataan ‘jemput’ dan ‘undang’ banyak digunakan dalam konteks protokol.
Sebenarnya, ‘jemput’ digunakan dalam konteks lisan, manakala ‘undang’ dalam konteks tulisan.
Nota: Konteks mewujudkan perkataan yang sama makna.
Sinonim Laras Sosial
Perkataan-perkatan tersebut digunakan dengan berdasarkan status. Misalnya ‘penyanyi’ ialah orang yang ‘bernyanyi’, manakala ‘biduan’ bermaksud ‘status’ yang tinggi dalam profesionalisme seni.
Sinonim Kolokasi
Sinonim jenis ini wujud dalam konteks penggunaan yang tersendiri. Contohnya perkataan ‘banyak’ dan ‘ramai’ mempunyai makna yang sama. Contoh ayat:
“Banyak kilang kekurangan tenaga pekerja mahir”, dan “Ramai pelajar yang gembira setelah memperoleh pencapaian baik dalam peperiksaan tersebut”.
Perkataan ‘banyak’ boleh digunakan sama ada bagi ‘manusia’, ‘tumbuh-tumbuhan’, ‘haiwan’ dan ‘benda’, tetapi pastikan perkataan tersebut bermakna apabila digunakan tanpa kata sifat.
Jika menyebut “Banyak pelajar yang gembira setelah memperoleh [encapaian baik dalam peperiksaan tgersebut” akan menunjukkan makna yang salah. Alasannya, ramai (untuk manusia sahaja) hanya bermakna jika ada kata sifat (gembira) dalam ayat tersebut.
Rajah 1: Jenis Sinonim (dipetik dari .....................................)

Kecualian Sinonim
Walaupun makna kata sinonim bersifat dua arah dan saling berhubungan antara satu sama lain, namun menurut S. Nathesan (peny., 2008: 39-40), walaupun berdasarkan Tesaurus Umum Bahasa Melayu (1990), terdapat 27 kata yang dikatakan bersinonim dengan kata cantik seperti: indah, elok, bagus, ayu, lawa, jelita, rupawan, juita, bergaya, berupa, kacak, tampan, gombang, kirana, mongel, laksemi, ganteng, jambu, manis, kecil molek, menawan, menarik, segak, jombang, dan anggun, akan tetapi bukan semua kata tersebut dapat mendukung makna atau pengertian yang sama dengan yang lain. Ini kerana, setiap kata ada komponen atau ciri-cirinya sendiri yang yang tidak dimiliki oleh kata yang lain. Makna sebenar kata-kata amat bergantung pada situasi atau konteks penggunaanya.
Abdullah Yusof (2009, dlm. BML3083), menyatakan bahawa kata yang bersinonim turut mempunyai kekecualian dalam ayat. Hal ini disebabkan oleh penggunaan perkataan yang bergantung kepada konteks penggunaan sesuatu ayat. Konteks penggunaan ayat membuatkan kata bersinonim tidak boleh digantikan dengan kata sinonimnya kerana penggantian hanya akan memjadikan kejanggalan dalam konteks ayat. Jelasnya di sini, walaupun terdapat kata sinonim dengan kata yang lain, maksud yang dibawa oleh kata tersebut bergantung kepada konteks ujaran atau ayat. Contoh perbezaan makna kata bersinonim berdasarkan konteks ujaran atau ayat ialah:
1.         Ibu pejabat, ibu mithali atau ibu ayam.
2.         Emak pejabat, emak mithali atau emak ayam.
3.         Ibu sawat pencawang elektrik sedang diperbaiki.
4.         Emak sawat pencawang elektrik sedang diperbaiki.
Berdasarkan contoh di atas, penggantian perkataan ibu kepada emak yang kurang tepat menyebabkannya ungkapan dan ayat tersebut menjadi janggal dan tidak gramatis. Walaupun pada dasarnya, kedua-dua perkataan ibu dan emak  adalah bersinonim, namun ayat yang menggantikan ibu kepada emak telah menjadi tidak gramatis disebabkan perkataan emak tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut.
Abdullah Yusof (2009 dlm. BML3083), menyatakan bahawa analisis yang tepat dan
spesifik antara dua kata atau frasa merupakan sesuatu yang bersinonim dan berhubung- kait dengan teori referensial dan teori kontekstual. Perkara lain yang menyebabkan terdapatnya perbezaan antara kata yang bersinonim ialah pengaruh oleh pemakainya. Sesetengah sinonim tidak boleh disangkal penggunaannya, namun ianya bergantung kepada kehendak pemilihan pemakainya. Antara contoh yang yang berkaitan dengan pemilihan pemakainya ialah:
1.            jalan raya                    jalan besar
2.            hari raya                      hari besar
Berdasarkan konteks makna contoh-contoh yang diberikan, didapati perkataan raya dan besar adalah sinonim. Perkataan tersebut juga bersifat dua arah dan boleh bertukar ganti antara satu sama lain tanpa mengubah kegramatisan ayat. Bagaimanapun, kebiasaan penggunaan lebih tertumpu kepada perkataan raya, menyebabkan penggunaan perkataan besar kedengaran janggal dan pelik jika digunakan dalam ayat. Contohnya dalam ucapan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat, iaitu:
                                    Selamat Hari Raya
                                    Selamat Hari Besar
Penggunaan perkataan besar untuk menggantikan perkataan raya tidak menjadi
kesalahan dan tidak mengubah kegramatisan ayat, tetapi disebabkan kejanggalan yang terhasil apabila kata besar digunakan, pengguna lebih cenderung memilih perkataan raya untuk mengucapkan ayat seperti di dalam contoh. Seterusnya, pemilihan itu menjadi kebiasaan orang ramai walaupun hakikatnya kata besar menggantikan kata raya tidak menjadi kesalahan.

Pemasalahan Sinonim
Walaupun sinonim bermaksud sama makna, namun terdapat beberapa kata sinonim
yang memperlihatkan perbezaannya. Perbezaan antara perkataan bersinonim sering ditemui dalam pemakaian dan konteks perkataan. Contohnya ialah perkataan meninggal dan mati. Kedua-dua perkataan ini mempunyai kesamaan makna iaitu tamat riwayat hidup. Walaupun kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang sama, namun penggunaan perkataan tersebut membuatkan wujudnya perbezaan antara perkataan tersebut. Perkataan meninggal hanya akan digunakan untuk manusia sahaja dan tidak sesuai digunakan untuk haiwan manakala perkataan mati pula digunakan untuk haiwan dan sangat tidak sesuai digunakan untuk manusia. Contohnya ialah:
1.                  Jiran saya meninggal awal pagi tadi.
2.                  Habis satu reban ayam saya mati kelmarin.
Berdasarkan contoh yang dinyatakan, didapati kedua-dua ayat adalah bertepatan dan gramatis. Jika perkataan meninggal dalam ayat 1 digantikan dengan perkataan sinonimnya iaitu mati, ayat tersebut akan menjadi “Jiran saya mati awal pagi tadi”. Didapati ayat tersebut menjadi tidak gramatis disebabkan kewujudan perkataan mati dalam ayat tersebut digunakan untuk manusia, bukannya haiwan seperti yang sepatutnya. Jika perkataan mati dalam ayat 2 pula digantikan dengan perkataan meninggal, ayat yang terhasil ialah “Habis satu reban ayam saya meninggal kelmarin”. Didapati ayat ini menjadi tidak gramatis disebabkan oleh penggunaan perkataan meninggal untuk haiwan. Hal ini menunjukkan pemakaian perkataan boleh menyebabkan perbezaan antara perkataan bersinonim. Contoh lain ialah perkataan hamil dan bunting serta lain-lain perkataan lagi.
Perbezaan makna berdasarkan situasi juga wujud dalam sinonim. Contohnya dalam
perkataan “mencuri” dan “menggelapkan” yang digunakan untuk wang. “Mencuri wang” dan “menggelapkan wang” mempunyai maksud yang sama, namun apabila perkataan wang ditukar kepada barang misalnya, makna ayat akan berubah sama sekali. Setelah ditukar, ayat akan menjadi “mencuri barang” dan “menggelapkan barang”. Pernyataan ini bermaksud, mencuri dan menggelapkan tidak semestinya boleh bersifat dua arah dan boleh saling berganti. Terdapat juga kata sinonim yang berbeza mengikut taraf perbezaannya yang tersendiri seperti:
i.           sinonim antara perkataan seperti “Kassim melihat Siti” dan ”Siti melihat Kassim”
ii.         sinonim antara frasa seperti “kereta besar itu” dan “kereta itu besar”
iii.        sinonim antara kata seperti nasib dan takdir serta memuaskan dan menyenangkan
iv.       sinonim antara morfem, contohnya “anak-anaknya” dan “anak-anak mereka” serta
aku makan” dan “saya makan”.
(Disunting dari .........................)

Perbezaan Sinonim
Abdullah Yusof (2009), menjelaskan bahawa tidak ada sinonim yang betul-betul serupa
antara setiap satunya. Pasti terdapat perbezaan antara sinonim dan perbezaan tersebut dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu:
i.             Suatu kata yang lebih umum dari yang lain. Contohnya tumbuh-tumbuhan lebih umum daripada tembikai dan haiwan lebih umum daripada ular tedung.
ii.           Suatu kata lebih intens daripada yang lain. Contohnya ialah kata memperkatakan lebih intens daripada berkata.
iii.         Suatu kata lebih halus dan emotif daripada kata yang lain seperti meninggal yang lebih halus dan emotif daripada mati dan mampus.
iv.         Suatu kata yang lebih profesional dari kata yang lain. Contohnya seperti kata termometer yang lebih professional penggunaannya berbanding jangka suhu dan telefon bimbit yang lebih profesional penggunaannya daripada telefon tangan
v.           Suatu kata yang lebih mencakupi penerimaan dan penolakan dari segi moral berbanding kata lain yang bersifat neutral. Contohnya ialah kata sedekah dan pemberian, berdoa dan bermohon, hubungan kelamin dan hubungan seksual.
vi.         Suatu kata lebih literal dari kata yang lain. Contohnya kata puspa melati dan bunga melati.
vii.       Suatu kata lebih bersifat kolokial berbanding kata yang lain. Contohnya seperti kita orang dan kami, serta dia orang dan mereka.
viii.     Suatu kata bersifat lokal atau bersifat kedaerahan daripada kata yang lain. Contohnya di kawasan perkampungan di Johor, kata rewang adalah lebih lokal berbanding gotong-royong, serta ngelayat lebih lokal berbanding ziarah kematian.
ix.         Kata-kata khusus yang digunakan bayi seperti nenen yang seerti dengan menyusu, mamam seerti dengan makan.
Palmer (1998) dalam Abdullah Yusof (2009) mengemukakan lima kebarangkalian
perbezaan pada sinonim. Ianya adalah:
i.             Perbezaan disebabkan dialek dan kebiasaan setempat. Contohnya perkataan “fall” yang digunakan di Amerika syarikat dan “autumn” di England. Kedua-dua perkataan bermaksud musim luruh.
ii.           Perbezaan pada pemakaiannya seperti kata mati dan meninggal. Kata mati hanya digunakan untuk benda bukan manusia, manakala kata meninggal pula hanya digunakan untuk manusia sahaja.
iii.         Perbezaan pada nilai kata seperti memohon yang nilainya lebih halus berbanding meminta, dan bersantap yang lebih halus daripada makan.
iv.         Perbezaan berdasarkan kolokial kata ana dan saya.
v.           Perbezaan disebabkan hiponim misalnya epal merupakan hiponim kepada buah-buahan.
Pengujian Tahap Perbezaan Sinonim
Palmer seterusnya menguji sejauh mana wujudnya batas antara dua sinonim sama ada
penggunaannya tidak terlalu bercanggah dengan kata yang bersinonim dengannya. Cara yang digunakan Palmer adalah dengan:
1.      Orang akan mengatakan “Kassim mati”, “Zamri meninggal” tetapi tidak
mungkin “tembikai mati”. Ini bermaksud penggunaan sinonim dibatasi oleh kaedah pemakaian. Contoh lain ialah kata betul dan benar. Apabila “saya betul” dan “saya benar”, tetapi tidak pula “kebetulan saya” dan “kebenaran saya” mempunyai maksud yang sama. Ini memperlihatkan kewujudan batas devisari.
2.      Mencari lawan perkataan tersebut (antonim). Contoh jelas yang dapat
digunakan ialah kata terang sinonim dengan jelas. Antonim kata terang ialah gelap, manakala kata jelas ialah kabur, bukannya gelap seperti kata antonim terang.
(Dipetik dari .......................)

Kesilapan Sinonim
Sepertimana huraian di atas, walaupun sinonim bermaksud sama makna, namun terdapat beberapa kata sinonim yang memperlihatkan perbezaannya. Hal ini sering dipandang remeh atau tidak disedari sehingga kerancuan penggunaan sinonim ini menjadikannya satu kesilapan dalam ilmu linguistic, seterusnya mencacatkan bahasa. Penggunaannya yang silap dan tidak tepat banyak sekali ditemui dalam penulisan. Zaidi Ismail (2005),[9] menyatakan dalam penggunaannya, khususnya dalam akhbar berbahasa Melayu, kata sinonim telah digunakan secara tidak tepat dan tidak membawa maksud yang sama seperti yang dinyatakan dalam Kamus Dewan dan Tesaurus Bahasa Melayu. Beliau memberikan beberapa contoh berikut bagi menjelaskan hal tersebut:
1.            Perkataan idola seolah-olah sinonim dengan artis, apatah lagi apabila soalan tentang idola ditanyakan dalam rancangan hiburan.
2.            Ajai dan Nurul, pasangan suami isteri yang begitu sinonim dengan lagu Aku Cinta Aku Rindu.
3.            Lebih unik lagi, Umno yang menjadi tulang belakang BN, begitu sinonim dengan orang Melayu Johor.
4.            “Banyak membaca fikiran kaya” adalah antara peribahasa Melayu yang sinonim dengan kepentingan membaca ....
5.            ... peralatan muzik ini amat sinonim dengan masyarakat tempatan.
6.            ... ia boleh menyumbang kepada keamanan sejagat – sesuatu yang sinonim dengan seruan Perdana Menteri di pelbagai forum antarabangsa bahawa dunia perlu diamankan semula.
Beliau menyarankan penggunaan kata sinonim dalam contoh-contoh tersebut, digantikan dengan kata yang lebih tepat dan betul iaitu ‘seerti’ bagi makna yang sama dengan kata ‘sinonim’. Kata sinonim dalam ayat tersebut sekiranya digantikan dengan kata seerti akan menjadi:
1a.  Perkataan idola seolah-olah seerti dengan artis, apatah lagi apabila soalan tentang idola ditanyakan dalam rancangan hiburan.
2a.  Ajai dan Nurul, pasangan suami isteri yang begitu seerti dengan lagu Aku Cinta Aku Rindu.
3a.  Lebih unik lagi, Umno yang menjadi tulang belakang BN, begitu seerti dengan orang Melayu Johor.
4a.  “Banyak membaca fikiran kaya” adalah antara peribahasa Melayu yang seerti dengan kepentingan membaca ....
5a.  ... peralatan muzik ini amat seerti dengan masyarakat tempatan.
6a.  ... ia boleh menyumbang kepada keamanan sejagat – sesuatu yang seerti dengan seruan Perdana Menteri di pelbagai forum antarabangsa bahawa dunia perlu diamankan semula.
Ini bermakna kata seerti bagi idola ialah artis; Ajai dan Nurul seerti dengan lagu Aku Cinta Aku Rindu; Umno seerti dengan orang Melayu Johor; “Banyak membaca fikiran kaya” seerti dengan kepentingan membaca; peralatan muzik seerti dengan masyarakat tempatan; dan sesuatu yang seerti dengan seruan Perdana Menteri. Walaupun makna ini janggal bunyinya, tetapi itulah makna yang sebenarnya yang terkandung dalam ayat tersebut sekiranya kata sinonim yang digunakan dalam ayat tersebut adalah merujuk pada makna yang terdapat dalam Kamus Dewan. Namun, kata sinonim yang digunakan dalam ayat tersebut mungkin tidak membawa kepada maksud yang sedemikian.
                        Untuk melihat dan memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan melalui ayat tersebut, Zaidi beranggapan kata sinonim sepatutnya tidak digunakan dan perlu digantikan dengan kata lain yang lebih sesuai, seperti berkait rapat. Justeru ayat tersebut akan menjadi seperti berikut:
1b.  Perkataan idola seolah-olah berkait rapat dengan artis, apatah lagi apabila soalan tentang idola ditanyakan dalam rancangan hiburan.
2b.  Ajai dan Nurul, pasangan suami isteri yang begitu berkait rapat dengan lagu Aku Cinta Aku Rindu.
3b.  Lebih unik lagi, Umno yang menjadi tulang belakang BN, begitu berkait rapat dengan orang Melayu Johor.
4b.  “Banyak membaca fikiran kaya” adalah antara peribahasa Melayu yang berkait rapat dengan kepentingan membaca ....
5b.  ... peralatan muzik ini amat berkait rapat dengan masyarakat tempatan.
6b.  ... ia boleh menyumbang kepada keamanan sejagat – sesuatu yang berkait rapat dengan seruan Perdana Menteri di pelbagai forum antarabangsa bahawa dunia perlu diamankan semula.
Beberapa penyataan dapat dibuat perihal sinonim berdasarkan huraian dan dapatan di
atas. Bahasa Melayu mengandungi banyak kata sinonim. Faktor-faktor serapan antara bahasa, dialek dan ragam bahasa merupakan faktor utama wujudnya kesinoniman dalam sesuatu bahasa. Kepentingan sinonim dapat dilihat sebagai faktor yang telah menambahkan lagi kosa kata dalam bahasa Melayu. Kepelbagaian kata yang mempunyai makna yang sama dan hampir sama memberi kesan ke atas pemerkayaan bahasa dan penggunaan bahasa itu sendiri. S. Nathesan (2008: 41), merumuskan dua hal penting berkaitan sinonim. Pertama, tidak ada sinonim yang seratus peratus sama dengan kata yang dikelompokkan dengannya. Dengan kata lain kesamaan maknanya tidaklah bersifat mutlak. Kedua , sesuatu kata itu lazimnya mempunyai pelbagai makna, iaitu makna denotasi atau makna literal, dan makna konotasi. Selain dari penjelasan di atas, kewujudan sinonim dalam bahasa Melayu juga dapat disimpulkan sebagai membantu seseorang penutur bahasa atau penulis lebih berwibawa dengan keterampilan berbahasa yang kaya, tepat dan bermakna.


[1] 
[2] 
[4] 
[5]
[6]
[7] 
[8]
[9]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan